Skip to main content

KUALA LUMPUR: Memulakan perniagaan dan memastikannya terus kekal relevan bukanlah satu perkara yang mudah untuk dilaksanakan, malah memerlukan dedikasi dan kesabaran tinggi.

Lebih-lebih lagi apabila membabitkan syarikat yang mengalami kerugian hingga jutaan ringgit.

Itu kisah Annas Ahmad, 48, semasa beliau meninggalkan kerjayanya sebagai peguam dan mengambil alih syarikat pengeluar pakaian seragam sekolah jenama terkenal di Malaysia, Canggih dan mentransformasi syarikat itu daripada mengalami kerugian hingga menjana keuntungan.

Beliau berkata, selepas mengambil alih daripada KUB Tekstil Sdn Bhd pada 2007, syarikat terbabit dinamakan My-Sutera Sdn Bhd (My-Sutera).

“Pada ketika itu, saya hairan bagaimana syarikat sebegini boleh mengalami kerugian hingga RM44 juta sedangkan permintaan terhadap pakaian dan peralatan sekolah sentiasa ada dari semasa ke semasa.

“Selepas meneliti syarikat ini, saya mendapati kaedah pengurusan syarikat adalah punca utama terhadap kerugian yang dialaminya,” katanya, baru-baru ini.

Annas berkata, menyedari perkara itu, beliau mengambil peluang dan melabur kira-kira RM20 juta ke dalam syarikat terbabit sebelum mengambilalih.

“Walaupun perniagaan pakaian sekolah dianggap bermusim, ia masih dikategorikan sebagai perniagaan keperluan asas yang sememangnya mempunyai permintaan tinggi.

“Sama seperti makanan, pakaian sekolah juga adalah keperluan. Secara purata, terdapat kira-kira 6.5 juta pelajar di negara ini setiap tahun yang memerlukan pakaian sekolah.

“Bagaimanapun, syarikat ini memerlukan nafas baharu dan sebagai permulaan, saya melakukan pelbagai perubahan khususnya dari segi pengurusan,” katanya.

Annas berkata, beliau terpaksa ikat perut dan bersabar menghadapi pelbagai rintangan, malah beliau juga terpaksa meyakinkan semua kakitangannya supaya mereka terus gigih dan bersemangat jika ingin melakar kejayaan.

Katanya, antara perkara yang menjadi tumpuan adalah memastikan kualiti jenama Canggih serta menepati permintaan pelanggan, khususnya mereka yang membuat tempahan dengan kuantiti banyak.

“Motto kami ialah ‘kuantiti lahir daripada rasa kasih’. Orang beli Canggih kerana kualitinya dan kami sesekali tidak akan berkompromi mengenai soal kualiti, termasuk memastikan vendor dilantik menghasilkan produk yang menepati standard,” katanya.

Selain itu, beliau turut melakukan kajian terhadap pakaian seragam sekolah yang terdapat di negara ini supaya dapat menghasilkan produk yang menepati kehendak pelanggannya.

“Kebiasaannya, pakaian seragam sekolah merangkumi putih dan biru untuk pengawas serta merah jambu bagi pengawas perpustakaan. Bagaimanapun, ada beberapa sekolah yang menggunakan warna lain seperti, hijau, ungu dan sebagainya.

“Bagi saya, ini adalah peluang perniagaan untuk menjana lebih banyak keuntungan, jadi syarikat ini mula menawarkan pelbagai jenis pakaian seragam sekolah mengikut keperluan kawasan.

Shopee Canggih

“Malah, kami juga mengambil langkah mengeluarkan produk selain pakaian seragam sekolah seperti pakaian seragam korporat dan baju syarikat serta pakaian dan peralatan sukan bagi meningkatkan lagi pendapatan syarikat,” katanya.

Annas berkata, bagi meluaskan rangkaian produk Canggih, syarikat itu turut menceburi sektor peruncitan dan melancarkan kedai Canggih Shoppe bermula dua tahun lalu.

Katanya, Canggih Shoppe dimulakan menerusi usaha sama usahawan tempatan yang ingin mendirikan perniagaan sendiri dengan membuka kedai menggunakan modal masing-masing dan menerima bekalan pakaian seragam sekolah jenama Canggih daripada pihaknya.

“Canggih Shoppe berfungsi sebagai pusat sehenti bagi memudahkan ibu bapa membeli pakaian dan peralatan sekolah tanpa perlu mengunjungi kompleks beli-belah.

“Buat masa ini, kami mempunyai tujuh kedai Canggih Shoppe di Selangor, Kelantan dan Melaka. Malah, untuk tahun ini, kami bercadang untuk menambah lagi 20 kedai di sekitar Selangor, Johor dan Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau meletakkan impian untuk menjadikan Canggih bukan sekadar dikenali kerana pakaian seragam sekolah, tetapi menjadi satu jenama yang turut dikenali menerusi barangan aksesori persekolahan, kasut, pakaian korporat, pakaian sukan dan pakaian kanak-kanak.

“Berikutan permintaan yang sentiasa ada, jualan Canggih kini mampu mencecah purata RM50 juta hingga RM60 juta setahun, berbanding peringkat awal pengambilalihan iaitu antara RM6 juta hingga RM7 juta setahun,” katanya.

PROFIL

Nama: Annas Ahmad

Usia: 42 tahun

Jawatan: Pengerusi Kumpulan My-Sutera Group dan My-Sutera Sdn Bhd

Asal: Bangi, Selangor

Source : Abdul Jamal, A. (2018, March 4). Bekas peguam kini tauke baju sekolah. Berita Harian Online. Retrieved from https://www.bharian.com.my/bisnes/usahawan/2018/03/395672/bekas-peguam-kini-tauke-baju-sekolah

Leave a Reply